Mayat lelaki tergantung di dahan pokok duku

Mayat lelaki tergantung di dahan pokok duku

ISKANDAR PUTERI – Mayat seorang pemuda ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok duku di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah di sini hari ini.

Mayat lelaki berusia 23 tahun itu ditemui pada pukul 4.26 petang dalam keadaan tergantung dengan tali.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki berumur 23 tahun ditemui telah mengantungkan diri di dahan sebatang pokok setinggi 10 kaki.

“Anggota bertugas mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menurunkan mangsa menggunakan tangga dan alat pengusung,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Anuar berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada pukul 5.53 petang hari ini.