2 beradik ingkar kuarantin, potong gelang 'pink' dikompaun RM8,000


2 beradik ingkar kuarantin, potong gelang 'pink' dikompaun RM8,000

PADANG BESAR: Dua beradik yang masih berada dalam tempoh kuarantin masing-masing dikompaun RM6,500 dan RM1,500 selepas didapati keluar daripada rumah mereka dengan berjumpa rakan di Kampung Melayu Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Saifudin Aslin Abbas, berkata wanita berusia 24 tahun dan adik lelakinya berusia 21 tahun itu diarah menjalani kuarantin di rumah selepas seorang daripada mereka disahkan positif COVID-19 dari 23 Ogos lalu hingga 5 September ini.

Katanya, dua beradik berkenaan tinggal bersama keluarga di sebuah rumah di Kampung Melayu Padang Besar dan tindakan mereka ingkar arahan untuk kuarantin di rumah jelas menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

"Wanita terbabit disahkan negatif COVID-19 dan hanya menjadi kontak rapat kepada adiknya.

"Berikutan itu polis mengeluarkan kompaun RM6,500 kepada lelaki berusia 21 tahun itu kerana memotong gelang kuarantin Kementerian Kesihatan (KKM), dengan sengaja keluar premis kuarantin, gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membawa masuk rakan ke dalam premis kuarantin.

"Kakak lelaki itu juga dikenakan kompaun RM1,500 kerana sengaja keluar dari premis kuarantin dan tidak mematuhi SOP.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 16 PU (a) 293/2021 Akta 342 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021," katanya.

Terdahulu, tindakan dua beradik berkenaan diketahui oleh Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi Beseri, Mata Ayer dan Chuping, Reswan Ramli yang bertindak memarahi kedua-duanya serta mengarahkan mereka duduk di rumah selepas laporan polis dibuat.

Reswan berkata, tindakannya itu semata-mata mahu memberi pengajaran kepada dua beradik terbabit untuk tidak mengambil mudah dalam soal kesihatan dan keselamatan diri apabila mereka disahkan positif COVID-19.




"Saya menerima banyak aduan dan rungutan orang ramai yang berada di Padang Besar melihat kelibat mereka dengan sewenang-wenangnya keluar dan mengingkari arahan kuarantin diri di rumah hanya untuk bertemu orang ramai.

"Apa yang dikesalkan seorang daripada mereka sanggup memotong gelang kuarantin KKM dan difahamkan tindakan bertemu rakan juga menyebabkan ada individu yang mempunyai kontak dengan mereka turut positif virus," katanya ketika dihubungi hari ini.