Kanak-kanak 12 tahun maut dilanggar lori


Kanak-kanak 12 tahun maut dilanggar lori

Sabak Bernam: Kanak-kanak 12 tahun maut akibat dilanggar lori di simpang tiga hadapan Kuarters Ladang Air Manis Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, dekat sini, semalam.

Mangsa yang menunggang motosikal dipercayai keluar simpang secara mengejut sebelum dia dilanggar.

Dalam kejadian kira-kira 3.05 petang itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah Bagan Nakhoda Omar (BNO) ke Tanjong Karang.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Modenas yang ditunggang mangsa dipercayai tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kiri dari arah BNO.

"Lori telah membrek namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan kenderaan berat itu terlanggar motosikal mangsa.

"Mangsa yang parah dibawa ke HTAJ Sabak Bernam untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia 5.10 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agus Salim berkata, pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, punca kematian mangsa masih belum ditentukan yang mana bedah siasat hanya dijalankan selepas ujian saringan Covid-19 diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.