Penunggang motosikal maut langgar lelaki mabuk


Penunggang motosikal maut langgar lelaki mabuk

"Seorang lelaki menemui ajal setelah motosikal ditunggangnya melanggar seorang pejalan kaki disyaki mabuk"



TANJUNG MALIM- Seorang lelaki menemui ajal setelah motosikal ditunggangnya melanggar seorang pejalan kaki disyaki mabuk di Kilometer 375.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.15 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Keeway itu dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Selayang.


Katanya, tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal di lorong kecemasan telah terlanggar seorang pejalan kaki yang disyaki mabuk.


“Kemalangan itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas dengan mangsa terjatuh di lorong kecemasan. Mangsa parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Slim River.


“Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat selain pejalan kaki yang turut cedera. Identiti pejalan kaki yang berusia lingkungan 50-an masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.