Lelaki ‘skodeng’ remaja perempuan dalam tandas diberkas


Lelaki ‘skodeng’ remaja perempuan dalam tandas diberkas


“Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.45 petang semalam apabila mangsa yang berusia 14 tahun mengadu kepada ibunya ternampak sebuah telefon bimbit dimasukkan melalui tingkap tandas wanita."



PETALING JAYA – Perbuatan seorang lelaki disyaki merakam video remaja perempuan dalam tandas memakan diri apabila ditahan polis di Centre Point, Bandar Utama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu kanak-kanak perempuan itu sejurus selepas suspek berjaya ditangkap pengawal keselamatan.

“Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.45 petang semalam apabila mangsa yang berusia 14 tahun mengadu kepada ibunya ternampak sebuah telefon bimbit dimasukkan melalui tingkap tandas wanita.

“Apabila dimarahi, suspek terus melarikan diri menyebabkan mangsa mengejarnya, bagaimanapun suspek bertindak menolak mangsa hingga jatuh sebelum diselamatkan pengawal keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, polis telah menahan lelaki berusia 33 tahun itu pada pukul 7.15 petang dan suspek telah membuat pengakuan merakam mangsa.

“Susulan itu polis merampas sebuah telefon bimbit jenama jenis Samsung Galaxy M20 dan video rakaman didalam telefon bimbit dijadikan sebagai bukti,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 377(d) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Kongsikan kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!