Kereta beli malam raya tak sempat tukar plate...


Kenderaan No plate ‘MIRA’ ‘DINA’ Dan 'J3H3' ditahan, berdepan denda RM 20,000

"Alasan yang diberikan pemandu tersebut adalah kereta berkenaan kononnya dibeli pada malam raya dan belum berkesempatan menukarkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. "

Kuala Terengganu, 3 Mei 2022 - ‘MIRA’ dan ‘DINA’ antara dua MPV yang ditahan semasa Skuad 42 JSPT Terengganu membuat pemantauan kelancaran trafik dan samseng jalanan sempena Op Selamat 18 Kontinjen Terengganu di Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang berhampiran Padang Midin, Kuala Terengganu hari ini.

MPV Toyota Alphard yang menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ telah dikesan pada jam 3.24 petang semasa Skuad 42 JSPT Terengganu sedang membuat pemantauan berhampiran Padang Midin, Kuala Terengganu. Skuad 42 terus mendekati dan menahan MPV ‘MIRA’ bersama-sama pemandu MPV tersebut. Pada jam 3.44 petang, sebuah lagi MPV Toyota Alphard menggunakan nombor pendaftaran ‘DINA’ juga ditahan Skuad 42 di kawasan yang sama.

Ditanya mengapa menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dan ‘DINA’, kedua-dua pemilik MPV berkenaan memberikan alasan bahawa mereka teruja mendapat MPV baharu untuk menyambut Syawal sehingga mendedikasikan nama isteri atau seseorang  pada lima huruf/nombor terakhir pendaftaran MPV masing-masing. 


Namun alasan itu tidak diterima dan menyebabkan ‘MIRA’ dan ‘DINA’ dibawa oleh Skuad 42 ke BSPT Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 108 (3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang hampir-hampir menyerupai apa-apa tanda bagi tujuan untuk memperdayakan pihak berkuasa.



Sementara itu di Bandar Baru Kuala Nerus, pada jam 7.25 malam Skuad 42 JSPT Terengganu telah menahan sebuah kereta Volkswagen Golf MK6 bersama-sama pemandu kerana menggunakan nombor pendaftaran ‘J3H3’. 


Alasan yang diberikan pemandu tersebut adalah kereta berkenaan kononnya dibeli pada malam raya dan belum berkesempatan menukarkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. 


Kereta berkenaan walau bagaimanapun telah dibawa oleh Skuad 42 ke BSPT Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen dan akta yang sama.


Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.


JSPT Terengganu ingin memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya bahawa dalam kesibukan menyambut Syawal, undang-undang jalan raya hendaklah diberi perhatian dan dipatuhi sepenuhnya. Pastikan nombor pendaftaran kenderaan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!