Polis buru pembuli jalanan yang tular di Facebook
"Polis kini giat mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan," katanya
KUCHING: Polis kini giat mengesan seorang pemandu yang bertindak memberhentikan keretanya hingga menghalang perjalanan sebuah kenderaan lain di Pasar Sungai Maong, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ekoran daripada kejadian itu, pihaknya menerima satu laporan berhubung video yang tular yang dikatakan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi di lokasi terbabit.
"Susulan kejadian ini, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 506/509 Kanun Keseksaan.
"Polis kini giat mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan maklumat itu ke Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di 082-862233.
Terdahulu, satu video berdurasi 30 saat telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook dipercayai mangsa, memaparkan seorang pemandu lelaki memberhentikan kereta dan menghalang kenderaan mangsa.
Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 11.30 pagi itu di Jalan Pasar Sungau Maong, Batu Kawa di sini.
@liputan_7