Pasar Malam semakin sepi, harga naik punca pelanggan lari


Pasar Malam semakin sepi, harga naik punca pelanggan lari

“Kali terakhir ke pasar malam beli roti pita. Dahulu RM4, RM5 terasa ok lagi, tetapi sekarang RM7, RM8 terasa mahal sangat. Baik makan nasi goreng lagi berbaloi, memang sudah tidak pergi pasar malam,” jelasnya.


PETALING JAYA – Jika dahulu, pasar malam adalah lokasi tum­puan mencari barangan basah dan makanan, namun kini tidak lagi berikutan harga jualannya yang disifatkan ‘kayangan’ dan menekan pengguna.

Kenaikan harga antara RM3 hingga RM5 bagi makanan dan barangan yang sama dijual di tepi jalan membuatkan pengguna beralih arah.

Selain itu, ditambah keadaan kos sara hidup yang tinggi membuatkan pelanggan berjimat cermat dalam berbelanja dan ia antara faktor pasar malam dikatakan semakin tidak mendapat sambutan.

Seorang pengguna Amar Lee berkata, harga ditawarkan penjaja tepi jalan lebih murah berbanding harga ditetapkan penjual di pasar malam menyebabkan dirinya lebih gemar berbelanja di lokasi berkenaan.

“Mahal, harga ‘kayangan’. Kedai tepi jalan lagi murah,” ­luahnya.

Pandangan sama disuarakan Eno Asan yang memberitahu, pembeli yang bijak boleh mencari harga lebih murah di tempat lain selain pasar malam, malah lebih menjimatkan poket terutamanya pada hujung bulan.

“Dahulu kalau nak murah, bolehlah pergi pasar malam, tetapi sekarang tengok harga pasar malam pun ‘terkejut’,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azam Mohamed memberitahu, makanan di tepi jalan lebih murah sekitar RM5 berbanding harga di pasar malam pada masa ini.

“Kalau ada mi goreng RM4, beli saja. Ini kalau RM7 sebungkus, tak payahlah, baik lepak restoran sambil minum teh ‘o’ ais limau,” jelanya.

Dalam pada itu, pengguna Facebook, Nurul Lerr pula meninggalkan komen berkenaan harga roti pita yang kini dijual mahal sekitar RM7 atau RM8 berban­ding dahulu RM4 atau RM5.

“Kali terakhir ke pasar malam beli roti pita. Dahulu RM4, RM5 terasa ok lagi, tetapi sekarang RM7, RM8 terasa mahal sangat. Baik makan nasi goreng lagi berbaloi, memang sudah tidak pergi pasar malam,” jelasnya.

Sementara itu, berbeza pengguna lain, Izamri Ibrahim pula berpendapat, pasar malam yang lengang dan sunyi daripada kehadiran pengunjung boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor.

“Selain sikap segelintir peniaga yang berlagak seperti samseng, sesetengah lokasi ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) didapati mengganggu ke­selesaan penduduk setempat.

“Manakan tidak, jika lokasi tersebut dicemari bau busuk gara-gara sikap tidak cakna sesetengah peniaga, penduduk setempat juga terpaksa menerima tempiasnya. Malas nak ulas isu ‘kabel’ sebab ramai yang sudah naik loya dengan perkataan itu,” katanya.

Semalam media melaporkan, kewujudan peniaga dan penjaja kecil yang beroperasi di bahu-bahu jalan sejak kebelakangan ini dikatakan menjadi punca operasi pasar-pasar malam kini semakin sepi dan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!