Lelaki curi dalam masjid ditahan selepas samun warga emas
"Suspek bertindak menekan kepala mangsa hingga dia jatuh tertiarap, sebelum mengambil barangan mangsa dan melarikan diri bersama kereta Proton Saga milik warga emas terbabit."
Kota Bharu: Lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes curi beg jemaah di Masjid Muhammadi di sini, ditahan ketika bersembunyi dalam semak di Kampung Sungai Keladi.
Suspek berusia 39 tahun yang dalam buruan sejak kes berkenaan, 26 April lalu dikatakan sempat menyamun pesara kerajaan di Sungai Budor di sini, sebelum ditahan pada 3 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek yang juga penganggur menyamun mangsa berusia 68 tahun pada 11.40 pagi (semalam) ketika warga emas itu sedang memancing.
"Suspek bertindak menekan kepala mangsa hingga dia jatuh tertiarap, sebelum mengambil barangan mangsa dan melarikan diri bersama kereta Proton Saga milik warga emas terbabit.
"Sebaik laporan dibuat, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Balai Polis Kota Bharu berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan semak yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan media di sini.
Mohd Rosdi berkata, turut ditemui adalah kereta dan barangan milik mangsa, manakala ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
"Hasil siasatan lanjut mendapati dia individu yang dikehendaki polis sebagaimana video tular beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi dicuri pada 26 April lalu.
"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
@liputan_7